Showing posts with label Karangan. Show all posts
Showing posts with label Karangan. Show all posts

Langkah-Langkah Menggalakkan Aktiviti Membaca Dalam Kalangan Pelajar

PENDAHULUAN
  • Membaca jambatan ilmu.
  • Membaca amat dituntut oleh agama Islam.
  • Membaca dapat meningkatkan penguasaan ilmu serta kemahiran yang menjadi faktor penentu kejayaan seseorang.
  • Pelbagai langkah untuk menggalakkan aktiviti membaca dalam kalangan pelajar.
ISI / IDEA-IDEA PENTING
  • Golongan pelajar mesti diterapkan dengan kefahaman yang jitu tentang kepentingan membaca kepada diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan agama.
  • Ibu bapa wajar mendidik anak agar gemar membaca sejak mereka masih anak-anak lagi.
  • Ibu bapa perlu menjadikan membaca sebagai hobi seterusnya menjadi teladan kepada anak-anak.
  • Ibu bapa mesti menyediakan suasana positif yang menarik minat anak untuk membaca.
  • Ibu bapa menjadikan budaya membaca sebagai amalan dalam keluarga.
  • Pihak pengurusan sekolah melaksanakan dasar menggalakkan aktiviti membaca dalam kalangan pelajar.
  • Pihak sekolah mesti menyediakan kemudahan pusat sumber yang lengkap dan kondusif.
  • Pihak sekolah sentiasa menjalankan kempen membaca secara berkala dan bersungguh-sungguh.
  • Pihak sekolah bersama dengan guru melaksanakan projek 'Nilam' dengan efektif sepanjang tahun.
  • Guru perlu sentiasa memberikan kesedaran kepada pelajar tentang pentingnya aktiviti membaca.
  • Guru seharusnya menggunakan pelbagai pendekatan dalam proses pembelajaran dan pengajaran yang berteraskan aktiviti membaca.
  • Pihak Kementerian Pelajaran perlu menganjurkan program galakan membaca di peringkat kebangsaan.
  • Pihak kementerian mesti menyediakan peruntukan yang munasabah kepada sekolah-sekolah bagi meningkatkan prasarana pusat sumber sekolah.
  • Pihak kerajaan harus melancarkan kempen membaca secara berterusan melalui pelbagai media seperti media elektronik, media cetak dan sebagainya.
  • Pihak kerajaan mesti menurunkan cukai ke atas bahan-bahan percetakan, import buku agar harga buku menjadi murah di pasaran.
  • Pihak kerajaan juga perlu menggiatkan aktiviti penterjemahan buku-buku asing ke dalam bahasa Melayu.
  • Pihak kerajaan memperkenalkan skim baucar membeli buku kepada golongan pelajar dari semua peringkat bukannya hanya untuk pelajar IPT.
.

Aktiviti Badan Beruniform dan Faedahnya


Aktiviti Badan Beruniform dan Faedahnya

          Kementerian Pelajaran Malaysia telah mendominankan kokurikulum dalam sistem pendidikan nasional. Langkah ini secara eksplisit menerangkan kokurikulum sebagai simbolik kepada kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Oleh itu, badan-badan beruniform seperti Kadet Pertahanan Awam, Kadet Remaja Sekolah dan sebagainya mula dipromosikan dalam arus pendidikan negara.  

         Faedah-faedah yang boleh didapati apabila para pelajar menyertai badan beruniform adalah dapat memapankanketahanan diri. Dalam usia yang setahun jagung, banyak cabaran yang perlu ditongkah bahkan, formula ketahanan diri tersebut juga perlu diaplikasikanpada masa hadapan. Aktiviti-aktiviti lasak yang sudah termaktub dalam silabus badan beruniform seperti 'flying-fox', 'night-walk' dan seumpamanya merupakan pendekatan awal bagi membuka kotak penerimaan pelajar terhadap kepentingan hal ini. 

          Di samping itu, penyertaan pelajar dalam unit beruniform berpotensi memangkinkan semangat kerjasama ibarat aur dan tebing dan pembentukan disiplin mereka. Hal ini dapat dibuktikan melalui penglibatan pelajar yang mendesak ketepatan masa yang tinggi seperti aktiviti kawad kaki. Aktiviti tersebut memerlukan gemblengan tenaga yang maksimum daripada ahli-ahli pasukan bagi menghasilkan formasi yang mantap. Oleh itu, para pelajar yang menyertai badan beruniform sering masyhur dengan ketepatan masa dan disiplin yang tinggi.

         Persis peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya, para pelajar juga akan diasuh tentang ilmu asas kecemasan. Perkara ini sangat berfaedah kerana apabila berlaku sebarang kecederaan, para pelajar boleh tampil menghulurkan bantuan. Tamsilnya, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) merupakan unit utama di sekolah yang bertindak menyebarkan wadah kesihatan kepada ahli-ahlinya dan umum. Maka, tindakan ini dilihat sangat efektif demi memansuhkan kedaifan akal pelajar tentang ilmu kesihatan. 

        Akhirulkalam, semua pelajar wajib menyertai kegiatan kokurikulum untuk kemenjadian masa depan. Elakkan daripada tertumpu kepada kurikulum sahaja. Para pelajar perlu sedar  akan faedah yang terbentang justeru mereka harus mengikuti perkembangan sistem pendidikan untuk faedah diri sendiri.


.

Manfaat Dasar 1Murid 1Sukan Kepada Murid Sekolah

Manfaat Dasar 1Murid 1Sukan Kepada Murid Sekolah

Dasar 1Murid 1Sukan yang telah diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada tahun 2011 banyak mendatangkan manfaat kepada murid. Dasar ini memang penting untuk program pembangunan sukan di sekolah-sekolah. Dasar 1Murid 1Sukan menjadi serampang dua mata bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah iaitu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dasar ini dikatakan berupaya untuk meningkatkan kadar penglibatan dan penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan atau permainan di sekolah. Oleh itu, pelbagai manfaat dasar tersebut akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam perbincangan seterusnya.

Antara manfaat dasar 1Murid 1Sukan ini ialah murid-murid dapat mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang berfaedah. Hal ini demikian kerana murid-murid yang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah dan terlibat dalam gejala negatif. Sebagai contohnya, murid-murid dapat menyertai aktiviti sukan atau permainan seperti bola sepak, badminton, sepak takraw, bola tampar, bola keranjang, dan sebagainya. Aktiviti yang dilakukan itu memang memberikan manfaat yang banyak kepada mereka. Jadi, dengan mengikuti program ini, murid-murid dapat menggunakan masa dengan berkesan dan dapat mengelakkan diri daripada aktiviti yang kurang sihat.

Dasar ini membolehkan guru-guru mencungkil bakat murid dalam bidang sukan atau permainan. Melalui sukan yang disertai oleh murid, bakat mereka dapat disuburkan dengan bimbingan dan latihan daripada guru kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Murid yang telah dilatih itu boleh mewakili sekolah sebagai pemain bola sepak, hoki, badminton, squash, boling, olahraga, dan sebagainya. Murid-murid dapat membuktikan bakat dan potensi mereka itu dan berlatih dengan gigih untuk mencapai kemenangan. Perkara itu membuktikan bahawa dasar ini dapat mengembangkan bakat murid-murid dalam sukan atau permainan yang diminati oleh mereka.

Selain itu, program ini dapat mewujudkan budaya atau amalan yang mementingkan kesihatan dalam kalangan murid sekolah. Perkara ini penting kerana murid yang aktif dalam aktiviti sukan akan menyebabkan badan mereka sihat dan cergas. Apabila badan mereka sihat, otak mereka akan cerdas dan murid-murid akan mudah untuk menerima pelajaran dan seterusnya mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. Dengan perkataan lain, murid-murid yang sihat dan cerdas ini akan dapat menjawab soalan dalam pelajaran dengan cemerlang. Hal ini membuktikan bahawa melalui program ini, murid akan sihat dan cergas serta mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Seterusnya, dasar ini berupaya untuk menggalakkan penyertaan setiap murid dalam aktiviti sukan atau permainan. Hal ini demikian kerana setiap murid berpeluang untuk melibatkan diri dalam bidang permainan atau sukan yang diminati oleh mereka. Selain itu, perkara ini menunjukkan bahawa tidak ada murid yang diabaikan atau dipinggirkan daripada melibatkan diri dalam permainan atau sukan di sekolah. Secara tidak langsung, pihak sekolah dapat mencungkil bakat murid dalam aktiviti sukan atau permainan dan bakat itu boleh digilap dan dilatih untuk mewakili sekolah. Oleh itu, jelaslah bahawa dasar ini dapat merangsang minat murid-murid untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan atau permainan yang diminati oleh mereka.

Melalui dasar ini, usaha untuk memupuk semangat kesukanan dan perpaduan kaum dalam kalangan murid akan menjadi realiti. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti sukan atau permainan tertentu, murid-murid akan menghayati semangat kesukanan ketika melibatkan diri dalam sesuatu permainan atau sukan. Sebagai contohnya, murid-murid turut berpeluang untuk bergaul dengan murid yang berbilang kaum seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban, dan Kadazan dalam sesuatu permainan atau sukan. Perkara ini membolehkan murid-murid berinteraksi dengan lebih erat dengan rakan-rakan sepasukan yang terdiri daripada berbagai-bagai kaum. Tegasnya, dasar tersebut dapat membentuk murid yang menghayati semangat kesukanan dan perpaduan kaum di negara ini.

Jelaslah di sini bahawa dasar 1Murid 1Sukan ini merupakan satu tranformasi baharu yang banyak manfaatnya dalam sistem pendidikan di negara kita. Oleh itu, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat perlu memahami dan menyokong usaha murni ini. Sekiranya usaha ini tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak, sudah tentu hasrat murni tersebut tidak akan tercapai. Jadi, semua pihak perlu bekerjasama untuk merealisasikan perkara ini, ibarat bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Dengan usaha yang bersepadu itu, kita berharap agar murid-murid lebih aktif dan bersemangat dalam bidang sukan demi kemajuan dan kecemerlangan sukan negara.   


.

Cara-Cara Memupuk Semangat Patriotik Dalam Kalangan Generasi Muda

PENDAHULUAN
  • Mutakhir ini semangat patriotik dalam kalangan generasi muda semakin pudar.
  • Hal ini demikian berpunca daripada pelbagai faktor dan suasana kehidupan yang lebih terbuka dan mencabar.
  • Fenomena sebegini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana impaknya amat buruk terhadap keamanan dan kemajuan negara.
  • Pelbagai cara untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan generasi muda.
IDEA-IDEA PENTING  (cara-cara memupuk semangat patriotik dalam kalangan generasi muda)
  • Menganjurkan kem jati diri yang mana pengisiannya mestilah bertumpu kepada usaha memberikan kesedaran kepada golongan remaja.
  • Mengadakan program sambutan 'Bulan Kemerdekaan' di sekolah mahupun institusi pengajian yang lain.
  • Mengenang jasa-jasa tokoh pahlawan dan tokoh pejuang kebangsaan.
  • Menggalakkan penghasilan filem-filem bercorak patriotik seperti Bukit Kepong, Leftenan Adenan dan lain-lain.
  • Menganjurkan pameran-pameran tentang sejarah kemerdekaan, darurat, campur tangan asing dan peperangan yang berlaku di negara kita.
  • Memperkasakan pengajaran subjek Sejarah di sekolah.
  • Menjadikan subjek Sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam setiap peperiksaan awam.
  • Mewajibkan semua pelajar IPTA dan IPTS mengambil subjek Sejarah dan wajib lulus sebagai syarat mendapat ijazah.
  • Kempen kesedaran 'sejarah' dalam kalangan generasi muda wajar dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dan berterusan.
  • Menganjurkan sambutan Hari Kemerdekaan secara besar-besaran dengan lebih tumpuan kepada menimbulkan rasa kecintaan rakyat terhadap negara.
  • Pemimpin kerajaan, masyarakat dan kaum perlu bahu-membahu dalam usaha menanam semangat patriotik.
  • Pihak bertanggungjawab wajar membina galeri-galeri yang mempamerkan fakta-fakta sejarah seperti gambar, barang-barang sejarah untuk dilihat dengan lebih dekat oleh golongan remaja.
  • Menubuhkan persatuan sejarah di semua peringkat sama ada di sekolah, institusi pengajian tinggi, kolej dan sebagainya.
  • Pihak swasta boleh menganjurkan pertandingan fotografi bertemakan sejarah tanah air, menganjurkan pertandingan menulis esei sejarah dan lain-lain.
  • Pihak kerajaan melalui agensi yang berkaitan mestilah berusaha memperkasakan muzium di seluruh negara.
PENUTUP
  • Kesimpulannya pelbagai cara yang boleh dilaksanakan bagi memupuk semangat patriotik dalam kalangan generasi muda.
  • Semua cara atau langkah yang dilaksanakan ini mestilah dibuat secara bersungguh-sungguh dan bertanggungjawab.
  • Tegasnya semua pihak perlu prihatin akan isu yang penting ini kerana rakyat tanpa semangat patriotik  yang membara ialah mayat hidup yang senang diperkotak-katikkan oleh anasir-anasir jahat. 
.

Langkah-Langkah Menggalakkan Amalan Gotong-Royong Dalam Kalangan Pelajar

PENDAHULUAN
  • Gotong-royong telah menjadi amalan turun-temurun masyarakat Melayu.
  • Kehidupan mereka tidak dapat lari daripada semangat tolong-menolong, sandar-menyandar ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
  • Namun sayang seribu kali sayang, kini amalan gotong-royong semakin dilupakan terutamanya dalam kalangan pelajar.
  • Pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan bagi menggalakkan amalan gotong-royong dalam kalangan pelajar.
ISI-ISI PENTING
  • Ibu bapa sewajarnya menanamkan amalan gotong-royong kepada anak-anak sejak di dalam buaian lagi.
  • Ibu bapa juga mestilah lebih mempamerkan teladan yang baik terhadap anak-anak mereka.
  • Anggota keluarga juga perlu memainkan peranan menggalakkan anak-anak mendekatkan diri dengan aktiviti gotong-royong.
  • Guru-guru di samping tugas hakiki mendidik anak bangsa, seharusnya sentiasa memberikan nasihat dan tunjuk ajar tentang kelebihan gotong-royong.
  • Kementerian Pelajaran melalui pihak sekolah mestilah memperbanyak aktiviti yang mendorong pelajar menjalankan aktiviti gotong-royong.
  • Masyarakat sekeliling sentiasa menyokong segala program yang diatur untuk tujuan tersebut di samping menjadi cerminan kepada golongan pelajar.
  • Peranan media massa menyebarkan maklumat tentang kepentingan gotong-royong kepada golongan pelajar melalui kempen-kempen yang berkesan.
  • Golongan pelajar juga perlu sedar betapa berfaedahnya amalan gotong-royong ini jika sentiasa diutamakan.
  • Golongan pendakwah boleh membantu menyemaikan amalan ini dalam kalangan pelajar.
PENUTUP
  • Kesimpulannya, semua pihak perlu lebih komited menyemaikan amalan gotong-royong dalam kalangan pelajar agar amalan yang mulia ini terus hidup dalam kalangan pelajar. 

Peranan Institusi Keluarga Bagi Membanteras Gejala Penderaan Kanak-Kanak Oleh Ahli Keluarga

Peranan Institusi Keluarga Bagi Membanteras Gejala Penderaan Kanak-Kanak Oleh Ahli Keluarga

Cadangan isi:
1.    Mengutamakan agenda kasih sayang dalam keluarga – kasih sayang dijadikan kunci dan   matlamat membina sesebuah keluarga – mencurahkan kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh - Hukama-hakama Arab pernah mengatakan bahawa anak-anak yang kehilangan kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim – kasih sayang dapat menghalang seseorang itu daripada menyakiti ahli keluarganya sama ada kesakitan berupa fizikal, mental atau emosi – lahir keluarga yang bahagia dan sakinah
2.    Mendidik sifat prihatin dan sensitif ahli keluarga terhadap keselamatan kanak-kanak – cubit paha kiri paha kanan terasa juga - tidak memberikan kesempatan ahli keluarga yang lain terus-menerus mendera – mengambil tindakan pantas mencegah, melapor dan menyelamatkan kanak-kanak yang didera – mencegah lebih baik daripada mengubati
3.    Mendalami ilmu dan kemahiran keibubapaan – setiap pasangan dikehendaki menghayati  betul-betul kemahiran tersebut sebelum mendirikan rumah tangga. Ilmu meliputi persediaan mental, emosi dan psikologi untuk berhadapan dengan insan kecil. 
4.    Menghayati ilmu agama dan pendidikan moral yang sempurna – kesedaran terhadap tanggungjawab agama dan ketuhanan boleh mencegah manusia daripada mudah dirasuk syaitan – agama merupakan senjata yang paling ampuh – tanpa agama kehidupan seseorang akan terumbang-ambing ibarat kapal tanpa nakhoda - penghayatan moral membolehkan seseorang menghayati unsur-unsur nilai kemanusiaan dan nilai sejagat. 
5.    Institusi keluarga perlu mengetahui bahawa mereka memikul amanah untuk menjaga anak kecil – kehadiran anak kecil sebagai pengikat kasih sayang – setiap ahli keluarga perlu  memahami tanggungjawab masing-masing.

.

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan dalam Kalangan Masyarakat


Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan dalam Kalangan Masyarakat

Dalam mendepani era modenisasi pada abad-21 kini, dunia menyaksikan iktisad negara yang kian membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Negara yang semakin pesat membangun seperti tenggelam sama basah, timbul sama hanyut seiringan dengan negara maju lain. Namun begitu,  isu memupuk semangat kejiranan masih menjadi polemik dalam kalangan marhaen di Malaysia.  Dewasa ini, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita semakin hari semakin terpinggir. Maasyarakat pada hari ini lebih mementingkan diri sendiri dan membudayakan hidup bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Dari segi  konsepnya semangat kejiranan boleh ditakrifkan sebagai suatu perasaan yang harus dipupuk oleh setiap masyarakat di Malaysia tanpa mengira warna kulit bangsa dan agama dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum demi negara yang tercinta. Biasanya semangat kejiranan merangkumi semua lapisan masyarakat tidak kira muda ataupun tua yang perlu kita amalkan. Menurut Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah jiran merupakan orang yang tinggal di sekeliling kita sama ada di depan, belakang, kiri , atau pun kanan dan merupakan orang pertama yang membantu kita ketika kita berada dalam kesusahan. Hal ini boleh dianalogikan seperti awan yang melindungi bumi daripada cahaya matahari. Oleh itu, beberapa langkah yang pragmatik harus diambil bagi memupuk semangat kejiranan kepada semua lapisan masyarakat.

          Langkah yang paling pragmatik untuk memupuk semangat kejiranan ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini kerana ibu bapa merupakan guru pertama dan guru terbaik kepada anak-anak. Jika ibu bapa menunjukkan teladan  yang baik kepada anak-anak maka mereka akan mencontohi teladan yang ditunjukkan kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah mengunjungi atau menziarahi jiran tetangga walaupun mereka berada dalam keadaan yang baik atau tidak. Selain itu, ibu bapa haruslah tidak sombong dengan jiran dan sering bertegur-sapa agar dapat memupuk semangat kejiranan. Kesannya, semangat kejiranan dapat dipupuk antara jiran dalam kalangan anak-anak dan ibu bapa sekali gus dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni. Sekiranya cara memupuk semangat kejiranan dapat dipupuk oleh ibu bapa maka negara dapat melahirkan generasi yang bijaksana dan bekerjasama dalam mentadbir membangunkan negara ke  arah kemajuan  negara pada masa akan datang. Tegasnya, contoh teladan yang terbaik daripada ibu bapa mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan anak-anak.

                Memetik wasitah nirmala seterusnya, uslub lain untuk memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat setempat di Malaysia ialah program rukun tetangga  di kawasan perumahan mesti dihidupkan semula. Hal ini kerana program rukun tetangga berfungsi sebagai perisai untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari.  Anggotanya membabitkan semua pihak tanpa mengira kaum kerana masing-masing bertanggungjawab menjaga keselamatan kendiri dan keluarga. Sebagai contohnya, anggota rukun tetangga akan bergilir-gilir bertugas meronda kawasan tanpa mengira usia, agama dan status. Secara ghalibnya, senario ini akan mewujudkan  jalinan hubungan yang mesra bagai isi dengan kukusekali gus memupuk semangat kejiranan yang hakiki. Menurut Tun Dr. Mahathir, jiran yang muafakat akan membentuk masyarakat yang harmoni. Oleh itu, kita perlu mengaktifkan program rukun tetangga bagi melahirkan semangat kejiranan yang utuh dan bersatu padu. 

          Meninjau dari skop yang lain, langkah yang seterusnya adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong oleh ahli komuniti atau badan bukan kerajaan (NGO).  Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong adalah seperti membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Selepas mengenali hati budi antara satu sama lain barulah benih-benih kasih sayang. Melalui cara ini, masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan di samping dapat menerapkan pelbagai nilai murni. Tun Dr. Mahathir, Mantan Perdana Menteri  pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri. Bukan itu sahaja, kawasan kediaman juga akan menjadi bersih dan terpelihara daripada penyakit demam denggi. Jelaslah bahawa aktiviti gotong-royong dapat memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

          Jika dilihat dari perspektif yang lain, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanyakan khabar dan bercerita tentang pengalaman masing-masing dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Maka, dengan adanya pengimplimentasian program seperti “Rumah Terbuka Kebangsaan” bagi setiap sambutan perayaan, rakyat dapat diterapkan dengan nilai hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain ibarat kata bidalan, “serumpun seperti serai, seikat seperti sirih”. Hal ini dikuatkan lagi dengan kajian dari Universiti Sains Malaysia yang menunjukkan keberhasilan penganjuran program “Rumah Terbuka Kebangsaan” dalam mewujudkan institusi kejiranan yang kukuh di sembilan buah kawasan perumahan di sekitar Pulau Pinang. Pendek kata, majlis rumah terbuka mampu mengeratkan hubungan kejiranan dan memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

           Lontaran idea yang seterusnya ialah kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Dengan ini, kita dapat meringankan penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Izharlah bahawa amalan ziarah-menziarahi mampu menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita.

          Sebagai menggulung segala lontaran idea yang telah dinyatakan, dapatlah disimpulkan bahawa terdapat beberapa langkah yang dapat dipraktikkan untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal.  Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.  Oleh itu, kita perlu memupuk semangat kejiranan  bermula daripada sekarang.  Cogan kata “Jiran Sepakat Membawa Berkat” perlu terus subur mewangi dalam kehidupan kita sehari-hari. Golongan remaja seharusnya menyuburkan semangat kejiranan kerana mereka merupakan pemimpin yang akan mewarnai corak pemerintahan pada masa hadapan. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan usaha ini pada bahu satu pihak kerana bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing untuk menghidupkan semangat kejiranan di negara kita. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali”. Semoga Malaysia menjadi sebuah negara yang mempunyai perpaduan yang utuh dan kukuh.

.