Showing posts with label Bahasa Melayu. Show all posts
Showing posts with label Bahasa Melayu. Show all posts

Soalan Novel : Soalan Percubaan Bahasa Melayu SPM (21)

(a)
Salah satu persoalan yang terdapat dalam novel yang anda kaji ialah persoalan keberanian.

Jelaskan dua persoalan keberanian yang terdapat dalam sebuah novel yang anda kaji.
 [7 markah]

(b)
Watak utama sering digambarkan sebagai seorang yang tabah menghadapi dugaan dalam kehidupan.

Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu peristiwa yang menunjukkan ketabahan watak utama.
 [8 markah]
PERLIS - SKEMA JAWAPAN

Soalan 4 (a)

Jendela Menghadap Jalan
Songket Berbenang Emas
-      Keberanian mengambil risiko.
Lili berani pergi ke rumah Che Jah melawat Haziq dan Rafik walaupun dia pernah diculik oleh mereka berdua
-      Keberanian dalam menyelesaikan masalah.
Peristiwa Lili, Danel, dan Geetha berani menyelesaikan masalah kubah surau yang dihadapi oleh penduduk di Kampung Sentosa.
-      Keberanian menyelamatkan rakan.
Danel berani menyelamatkan Lili yang diculik oleh Rafik dan Haziq.
-     Keberanian mengambil risiko.
Peristiwa Dahlia berani keluar dari asrama untuk melawat ibunya Saleha di Hospital Permai. Dahlia berbuat demikian kerana terlalu merindui ibunya.
-     Keberanian untuk menyelamatkan diri daripada bahaya.
Embong berani membunuh ular sawa yang membelitnya di kebun sawit di Kampung Parit Haji Kadir.
-      Keberanian menyelamatkan orang yang ditimpa musibah
Dahlia berani menyelamatkan Said, anak Aton yang lemas di sungai berhampiran rumah Dahlia.


PERLIS - SKEMA JAWAPAN

Soalan 4 (b)

Jendela Menghadap Jalan
Songket Berbenang Emas
-      Peristiwa Lili membantu menyelesaikan konflik rumah tangga Che Jah.
Lili tabah menempuh cabaran dalam usaha membantu Che Jah dan anak-anaknya daripada terus menjadi mangsa keganasan Seman yang sering memukul mereka.
-      Peristiwa Lili menyelesaikan isu kubah.
Lili dan Danel tabah menempuh cabaran untuk menyelesaikan isu kubah yang menjadi konflik penduduk kampng sehingga mereka berpecah-belah.
-      Peristiwa Lili diculik oleh Rafik dan Haziq.
Lili tabah menerima dugaan apabila dia diculik oleh Rafik dan Haziq semasa dalam perjalanan pulang dari pekan. Dia tabah apabila dikurung di dalam pondok usang di hujung kampung.
-     Peristiwa Dahlia menuntut ilmu.
Dahlia tabah menuntut ilmu walaupun hidup dalam kemiskinan dan menghadapi masalah keluarga seperti ibunya yang sakit dan ayahnya yang dipatuk ular.
-     Peristiwa Dahlia menguruskan adik- adiknya.
Dahlia tabah memikul tanggungjawab menguruskan adik-adiknya terutama Anggerik yang masih kecil ketika ibu dan ayahnya dimasukkan ke hospital
-     Peristiwa Dahlia menerima penghinaan dan kejian daripada masyarakat sekeliling.
Dahlia tabah menerima tuduhan Aton yang menuduhnya sengaja menyebabkan Said lemas di sungai.





.

Soalan Novel : Soalan Percubaan Bahasa Melayu SPM (20)

(a)
Konflik yang timbul dalam sesebuah novel membuatkan cerita semakin berkembang

Jelaskan dua peristiwa yang dapat menggambarkan penyelesaian konflik oleh watak utama dalam sebuah novel yang anda pelajari.
 [7 markah]

(b)
Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu pengajaran tentang keberanian yang terdapat dalam setiap novel tersebut.
 [8 markah]
SELANGOR SET 1 - SKEMA JAWAPAN

Soalan 4 (a)

Leftenan Adnan Wira Bangsa
Tirani
-      Peristiwa: Adnan telah dituduh sebagai pengkhianat bangsa kerana keluarganya pernah menjadi tali barut kepada Inggeris ketika moyangnya telah menjadi orang buruan Inggeris
Penyelesaian: Adnan sabar dengan lekehan rakan-rakannya dengan tidak menghiraukan tempelak rakan-rakan sekampungnya itu.
-      Peristiwa: Budin daripada pasukan Kampung Sungai Merap tidak berpuas hati kerana kekalahan di tangan pasukan Kampung Sungai Ramal Mereka mengatur pula perlawanan tinju antara kedua-dua pasukan. Budin akan bertinju dengan Adnan.
Penyelesaian: Budin dan Adnan bersepakat untuk tidak meneruskan perlawanan tinju itu dan mereka menjadi sahabat.
-      Peristiwa: Pertempuran Batalion Kedua Askar Melayu dengan pendaratan askar Jepun di Pantai Cahaya Bulan pada 8 Disember 1941. Askar Jepun telah ditentang hebat oleh askar Melayu yang dibantu oleh tentera India British. Pada hari kedua, kapal-kapal perang Jepun telah melepaskan tembakan menyebabkan banyak yang terkorban dan banyak askar India British melarikan diri.
Penyelesaian: Semangat Leftenan Adnan tidak berputus asa lalu bertahan dan berjaya menggagalkan askar Jepun tetapi pada hari ketiga askar Melayu yang bertempur terpaksa berundur. Askar Jepun berjaya mendarat di Kelantan.
-      Peristiwa: Konflik berlaku di antara askar Melayu dengan tentera Jepun pada masa terakhir Perang Dunia Kedua. Pada masa itu, Leftenan Adnan terus memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak buahnya. Walaupun mereka semakin kehabisan peluru sedangkan asakan tentera Jepun semakin bertambah.
Penyelesaian: Semangat askar Melayu tidak pernah berkurang dan terus berjuang mempertahankan diri dan maruah negara.
-      Peristiwa: Ibu bapa Waheeda tidak membenarkan dia melakukan pembedahan kerana menyalahi hukum agama
Penyelesaian: Waheeda melakukan pembedahan setelah dicakar oleh Beruk Belanda atas cadangan doktor.
-      Peristiwa: doktor Zahari sering ke rumah sewaan Bazilah untuk berbual-bual dengan Waheeda sedangkan Bazilah sibuk menyiapkan tesisnya.
Penyelesaian: Waheeda berpindah ke Flaminggo resort untuk mengelakkan hubungannya dengan Bazilah renggang.
-      Peristiwa: Zahid tidak percaya bahawa Izzati ialah anak kandungnya dan menuduh Waheeda curang.
Penyelesaian: Waheeda membuat ujian DNA untuk membuktikan bahawa Izzati anak kandung Zahid tetapi Zahid tidak melihat keputusan tersebut.
-      Peristiwa: Waheeda tidak dapat menerima kenyataan yang dia diceraikan oleh Zahid dengan talak satu.
Penyelesaian: Waheeda menerima rawatan di Hospital PUSRAWI Kuala Lumpur.


SELANGOR SET 1 - SKEMA JAWAPAN

Soalan 4 (b)

Leftenan Adnan Wira Bangsa
Tirani
-      Kita hendaklah berani mempertahankan tanah air daripada dijajah agar kita dapat mengekalkan kedaulatan negara.
Contohnya, Leftenan Adnan berani berjuang bermati-matian sehingga titisan darah yang terakhir untuk mempertahankan bumi tercinta daripada jatuh ke tangan tentera Jepun.
-      Kita hendaklah berani menuntuy ilmu demi masa depan walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran agar masa hadapan terjamin.
Contohnya, peristiwa pak Saidi berani menghantar Adnan ke sekolah Inggeris walaupun mendapat tentangan daripada penduduk kampung.
-      Remaja mestilah berani mengetengahkan balak agar dapat dikembangkannya pada peringkat lebih tinggi
Contohnya, Adnan memasuki pertandingan berpidato Bahasa Inggeris dan mendapat Johan
-   Kita hendaklah berani menghadapi cabaran hidup agar beroleh kejayaan.
Contohnya Waheeda sabar dengan ejekan rakan-rakannya yang sering mengejek hidungnya yang pesek dan Waheeda juga sabar menangani sifat cemburu buta suaminya yang selalu menuduhnya mengadakan hubungan sulit dengan lelaki lain.
-   Kita hendaklah berani mengambi risiko untuk memajukan perniagaan agar perniagaan berkembang.
Contohnya Waheeda berani menanggung risiko dengan membuat pinjaman baharu daripada tabung usahawan siswazah, Bank Pembangunan untuk membeli Chalet Iwana-Iwani yang ingin dijual oleh pemiliknya, Abdul Aziz Imran
-      Kita hendaklah berani membuat keputusan agar pekerjaan yang dilakukan akan berjalan lancar.
Contohnya, peristiwa Waheeda gigih mendapatkan pinjaman tabung usahawan siswazah daripada Bank Pembangunan untuk menubuhkan Syarikat Tajau Emas





.

Amalan Pemakanan Sihat

Amalan Pemakanan Sihat

Makanan berkhasiat merupakan makanan yang harus dimakan untuk memastikan tubuh badan seseorang berfungsi secara normal. Makanan seimbang seharusnya memberikan kita tenaga yang mencukupi yang mengandungi karbohidrat, protein dan lemak secara optimum dan kandungan fiber yang mencukupi. Makanan yang memberi tenaga dapat membina badan dan dapat menjauhi kita daripada penyakit.

1.    Jangan tidak makan karbohidrat
Sesetengah dari kita merasakan dan mempercayai dengan mengambil karbohidrat menyebabkan mereka gemuk dan mampu mengundang pelbagai penyakit. Ini mendorong mereka bertindak untuk meninggalkan pengambilan nutrien tersebut secara total serta menggantikannya dengan kaedah diet lain yang mungkin menyebabkan berlakunya malnutrisi.

2.    Rancang apa yang hendak dimakan
Sekiranya berhasrat untuk mengambil makan malam yang lebih berat seperti stik dan kentang, kurangkan atau elakkan pengambilan makanan berdaging dan berkanji untuk waktu makan yang lain dan begitulah seterusnya. Imbang dan rancang pengambilan kategori makanan.

3.    Makan tengahari semahu anda
Mungkin anda pernah dengar sarapan pagi adalah penting dan makan dengan banyak untuk memulakan hari anda tetapi ramai diantara kita yang tidak bersedia untuk makan dalam jumlah yang banyak seawal pagi. Kebenarannya ialah waktu makan paling penting ialah waktu makan tengahari di mana sistem penghadaman kita telah bersedia sepenuhnya. Di waktu itu juga badan amat memerlukan makanan untuk berfungsi sepenuhnya seharian. Namun begitu makan semahunya bukan bermakna anda boleh makan apa sahaja dalam jumlah yang banyak tetapi perlulah dirancang dan diimbang sebaik mungkin.

4.    Makan makanan berwarna pelangi
Sayuran hijau, oren, anggur, kobis ungu, lada benggala dan pelbagai warna sayuran dan buah-buahan akan membantu memberi tubuh badan dengan pelbagai nutrien yang akan membantu melawan penyakit.

5.    Berhenti sebelum kenyang
Makan itu bukan untuk menjadi kenyang sebaliknya makan itu bertujuan memenuhi keperluan tubuh badan dengan nutrien yang membolehkan tubuh berfungsi sebaiknya. Praktis ini sememangnya amat membantu kerana ianya membolehkan sistem pencernaan berfungsi lebih optimum dan ini dapat mengelakkan dari perut kembung serta mengurangkan kadar risiko penyakit berkaitan usus dan perut.

6.    Tetapkan pola waktu makan yang seragam
Waktu makan yang tidak tetap akan menyebabkan kecenderungan untuk makan dalam kuantiti yang yang banyak.

7.    Minum segelas air suam 20 minit sebelum makan
Mampu mengurangkan jumlah makanan yang diambil serta membantu sistem penghadaman.

8.    Kurangkan pengambilan gula di dalam makanan
Pengurangan pengambilan gula membantu mengurangkan jumlah kalori di dalam pemakanan seharian. Pengambilan gula secara berlebihan dalam jangka masa panjang boleh meningkatkatkan berat badan dan menyebabkan obesiti.

9.    Menguyah makanan secara perlahan-lahan
Di dalam air liur terdapat enzim amalyse yang membantu menguraikan makanan dan seterusnya membantu sistem pencernaan. Makan dengan cepat akan menyebabkan air liur tidak dapat menguraikan makanan dengan baik.

10. Tidur secukupnya
Amalkan tidur yang secukupnya bagi mempastikan tubuh badan dapat berfungsi dengan baik termasuk sistem penghadaman.


.

KEMUDAHAN AWAM DI NEGARA KITA


KEMUDAHAN AWAM DI NEGARA KITA

Malaysia ialah sebuah negara yang pesat membangun.  Selaras dengan pembangunan yang pesat ini, pelbagai kemudahan disediakan oleh pihak yang berwajib bagi membantu rakyat menikmati keselesaan hidup. Satu daripada kemudahan yang disediakan ialah kemudahan awam.

Kemudahan awam  yang dimaksudkan adalah seperti telefon awam, taman rekreasi, pondok perhentian bas, tandas awam dan lain-lain lagi. Bagi sesiapa yang tidak mempunyai kemudahan telefon sendiri di rumah, telefon awam amat berguna dalam usaha menghubungi pihak hospital, bomba, dan balai polis ketika kecemasan dan waktu memerlukan pertolongan yang  segera. Pondok perhentian bas pula akan memberikan keselesaan kepada pengguna yang menggunakan perkhidmatan bas sama ada  untuk pergi bertugas atau pergi bersiar-siar. Taman rekreasi yang terdapat di mana-mana terutama di bandar-bandar,  menjadi tempat orang awam berehat dan menjalankan aktiviti riadah. Tandas awam pula tersedia di tempat-tempat yang  menjadi tumpuan orang ramai. Kebersihan dan keceriaan  di  luar dan di dalam  tandas awam, membolehkan orang awam menggunakannya dengan selesa. 

          Kepentingan kemudahan awam kepada masyarakat tidak dapat disangkal lagi. Namun, sebahagian daripada pengguna, seolah-olah tidak menghargainya. Mereka merosakkan harta benda awam tanpa memikirkan kesan dan implikasi daripada tindakan mereka itu. Kita melihat di sana-sini telefon awam tidak berfungsi lagi,  taman rekreasi disalahgunakan, pondok perhentian bas diconteng dan ditulis dengan kata-kata yang tidak menyenangkan hati. Tandas awam pula tidak digunakan dengan wajar di samping pengguna tidak bekerjasama menjaga kebersihannya. Tindakan vandalisme ini amat mengecewakan semua pihak yang prihatin tentang keselamatan kemudahan awam.

          Justeru, kita tidak  ada pilihan, selain berusaha dan berganding bahu mengambil tindakan yang berkesan untuk membendung dan mengekang perlakuan yang negatif ini. Selain tindakan tegas melalui undang-undang, didikan rohani  perlu dipupuk di peringkat sekolah rendah lagi. Murid-murid hendaklah  diasuh tentang perlunya mereka bertangggungjawab menjaga harta benda awam. Kempen dan galakan melalui media elektronik hendaklah dilaksanakan dari semasa ke semasa dengan lebih berkesan. Ibu bapa dan para pemimpin masyarakat harus mendukung aspirasi slogan ‘Kepimpinan Melalui Teladan’.


             Kemudahan awam hak milik kita bersama. Marilah kita menjaganya demi kepentingan kita dan maruah negara.

.

Langkah Untuk Menggalakkan Orang Ramai Menaiki Pengangkutan Awam di Negara Kita


Langkah Untuk Menggalakkan Orang Ramai Menaiki Pengangkutan Awam di Negara Kita

Pengangkutan awam di negara kita sedang berkembang maju. Kerajaan juga telah mengadakan pelbagai langkah untuk menggalakkan orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengatasi masalah kesesakan khususnya di kawasan bandar.
Jelaskan langkah-langkah untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

“Zaman beralih, musim bertukar”, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri di mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan paradigma. Kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Kereta api, komuter dan monorel. Jikalau bukan kita sebagai warganegara Malaysia yang menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi yang mesti menyokongnya? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.

Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak pihak mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke destinasi lain dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu dengan harga yang mampu dibeli oleh orang ramai khususnya mereka yang berpendapatan rendah supaya dapat menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan awam di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh pelaksanaannya di negara barat seperti di Melbourne, Australia. Di Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket pada kos yang rendah untuk menaiki kereta api atau menaiki bas. Hal ini bertepatan dengan peribahasa “serampang dua mata”. Pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang golongan yang kurang berupaya tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan harian mereka. Jadi jikalau sistem tiket bersepadu ini dapat direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali pengangkutan awam.

Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam ialah meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah dipertingkatkan jumlahnya bagi memenuhi kehendak rakyat serta mengatasi masalah kekurangan pengangkutan awam di sesetengah kawasan yang menjadi rungutan orang ramai. Selain itu, KTM (Kereta Api Tanah Melayu) haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di negara Jepun yang telah menggunakan kuasa elektrik seperti Shinkansen (bullet train) sehingga mencapai kelajuan melebihi 200 kilometer sejam. Dengan menggunakan lokomotif berkuasa elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti dapat ditingkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal. Dengan kekerapan perjalanan pengangkutan awam yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu ketibaan pengangkutan awam tersebut kerana masa itu emas yang rugi dibazirkan semata-mata untuk menunggu kenderaan awam. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan orang ramai secara keseluruhannya. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kelemahan perkhidmatan dan kelewatan jadual perjalanan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang berkeyakinan terhadap pengakutan awam di negara kita. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem perkhidmatan pengangkutan awam.

Pada masa yang sama, langkah kerajaan menggalakkan pemasangan televisyen di dalam bas ekspres mendapat banyak komen yang baik daripada orang ramai. Hal ini kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton pelbagai siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka dan menjadikan perjalanan lebih menarik. Perkara ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam yang lain seperti Komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan yang mengimbas kembali detik-detik bersejarah di negara kita dan sebagainya. Kemudahan seperti alat pendingin udara juga perlu dipertingkatkan bagi menjadikan penumpang berasa lebih selesa apabila menaiki pengangkutan tersebut. Kemudahan-kemudahan sampingan seperti ini pasti akan dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang untuk menaiki pengangkutan awam.

Bagi mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang kurang berdisiplin,sistem perakam perlu dipasang di semua kenderaan awam di negara kita. Pemasangan alat perakam ini dapat merakamkan bukan sahaja perkara yang berlaku di sepanjang perjalanan malah dapat merakamkan kelajuan pengangkutan awam tersebut. Hal ini akan dapat mengurangkan masalah kenderaan awam seperti bas yang dipandu terlalu laju sehingga melebihi had yang dibenarkan. Pada masa yang sama, pemasangan alat ini dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya bas yang sering diperkatakan oleh orang ramai. Kerajaan juga perlu lebih kerap mengadakan pemeriksaan bagi memastikan pemandu pengangkutan benar-benar mereka yang berkelayakan atau bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah. Tindakan kerajaan menyenaraihitamkan pemandu yang kurang berdisiplin akan dapat mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang tidak bersopan sekali gus melenyapkan pekerja yang tidak berkualiti. Pemeriksaan oleh pihak berwajib seperti Jabatan Pengangkutan Jalan atau pihak polis juga perlu menyeluruh bukan sahaja kepada kakitangan pengangkutan awam tetapi perlu juga melihat pada keadaan dan keselamatan pengangkutan awam yang digunakan bagi memastikan keselamatan pengguna pengangkutan tersebut terjamin. Dengan cara itu, keyakinan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam di negara kita akan meningkat.

Pihak pengurusan atau pengendali pengangkutan awam juga perlulah lebih peka untuk menyediakan kemudahan hiliran bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan ini. Di kawasan stesen komuter atau LRT umpamanya, tempat meletakkan kenderaan perlu ditambah bagi mengelakkan orang ramai meletak kenderaan mereka di tepi-tepi jalan atau di tempat lain yang tidak sesuai. Hal ini sentiasa menjadi rungutan orang ramai kerana bukan sahaja boleh mengakibatkan kesesakan malah pada masa yang sama turut menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya. Begitu juga halnya dengan pengangkutan tambahan atau “bas fider” yang dikatakan menjadi masalah kepada pengguna komuter dan LRT. Kekurangan pengangkutan bas tambahan ini telah menyukarkan pengguna pengangkutan tersebut jika kawasan stesen tersebut jauh dari pejabat. Justeru adalah penting sekiranya bas-bas tambahan ditambah bilangannya bagi memudahkan dan mempercepat perjalanan seseorang dari rumah ke destinasi yang dituju. Jarak atau lokasi pengangkutan awam seperti komuter dan LRT juga perlu ditambah dari semasa ke semasa agar lingkungan pengguna yang dapat menaiki kemudahan awam tersebut turut meningkat. Biarpun langkah ini memerlukan biaya yang agak tinggi namun kesannya pada sistem perhubungan di negara kita adalah amat besar. Oleh itu langkah-langkah menyediakan kemudahan tambahan bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam tersebut perlu dilaksanakan agar pengangkutan awam di negara kita tidak dianggap “indah khabar dari rupa”.

Seperti kata peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Pihak sekolah dicadangkan supaya memberi penerangan tentang kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar agar menaiki perkhidmatan awam. Usaha ini bukan sahaja perlu ditumpukan kepada para pelajar, tetapi harus juga diperluas kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej dalam hati mereka apabila menaiki pengangkutan awam. Melalui pendidikan, kita dapat melahirkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan awam seperti kereta api dan bas sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki kendera sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan menggunakan pengangkutan awam tertanam dalam jiwa mereka.

Kesimpulannya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan kepada masyarakat di negara kita seperti dapat mengurangkan kesesakan dan kemalangan, mengurangkan pencemaran udara, menjimatkankan masa malah mengurangkan kos kehidupan kita sehari-hari. Oleh itu, sebagai pengguna jalan raya yang bijak, kita perlulah menyahut seruan kerajaan agar menggunakan pengangkutan awam sebagai kaedah untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Kita juga berharap agar dengan langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan ini maka pengangkutan awam di negara kita akan menjadi lebih maju setanding dengan pengangkutan awam di negara-negara lain bak kata pepatah, “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi”, seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.

.